Wednesday 18 December 2013

Siswazah News

KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) -- Peruntukan RM50 juta di bawah Tabung
Usahawan Siswazah memberi keyakinan lebih besar kepada golongan itu untuk
menceburi bidang keusahawanan, sekaligus membantu mencapai sasaran kerajaan
melahirkan 5,000 usahawan setahun.
Pengerusi Majlis Keusahawanan Universiti-universiti Awam Malaysia (MAKMUM)
Prof Madya Datuk Dr Junaidy Abu Bakar berkata langkah itu sangat positif ke arah
mengurangkan jumlah siswazah menganggur dengan menampung minat mereka menjadi
usahawan.
“Namun, mereka perlu diberi latihan dan pendedahan secukupnya terlebih
dahulu supaya tidak patah semangat separuh jalan,” katanya yang mengalu-alukan
pengumuman tabung itu oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada
pembentangan Belanjawan 2014 di Parlimen hari ini.
Najib mengumumkan bahawa bagi mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan
siswazah, kerajaan akan memperuntukkan RM50 juta di bawah Tabung Usahawan
Siswazah yang akan diuruskan oleh SME Bank.
Menurut Najib, yang juga menteri kewangan, dana itu akan menyediakan
pinjaman mudah sehingga RM500,000 pada kadar faedah empat peratus.
-- LAGI
BAJET-REAKSI (MAKMUM) 2 (AKHIR) KUALA LUMPUR
Junaidy berkata oleh kerana bukan semua siswazah menganggur adalah lulusan
bidang perniagaan atau keusahawanan, mereka perlu diberikan kursus berkaitan
terlebih dahulu disusuli latihan amali dengan industri berkaitan untuk
melengkapi diri dengan pengalaman awal.
“Saya berpendapat mereka juga perlu dipadankan dengan industri dalam
bidang perniagaan pilihan mereka, atau diperkenalkan mentor-mentee untuk
mendapat bimbingan berterusan bagi memastikan kejayaan,” katanya.
Perniagaan francais dan perniagaan yang sudah ada rangkaian meluas di
seluruh negara mungkin antara pilihan terbaik kerana ia telah menyediakan model
perniagaan yang baik dan berjaya, kata Junaidy yang juga Timbalan Naib Canselor
Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Pendidikan Sultan Idris.
“Untuk kelompok berikutnya MAKMUM melihat peranan pusat keusahawanan yang
terdapat di semua universiti awam boleh dipertingkatkan dengan mempergiat
latihan kepada mahasiswa berminat bermula daripada tahun akhir pengajian,”
katanya.
Jumlah pinjaman daripada tabung itu tidak boleh diberi banyak sekaligus
untuk tidak membebankan bayaran balik dan juga mengelak kecenderungan disalah
guna, katanya, sambil menambah bahawa pinjaman yang besar jumlahnya mungkin
boleh diberi kepada siswazah secara berkumpulan yang memikul tanggungjawab

bersama dalam perniagaan.

No comments:

Post a Comment