Wednesday 6 November 2013

Hasrat ibu lihat anak ke menara gading terkubur

DUNGUN: Hasrat seorang ibu untuk melihat anaknya berjaya ke menara gading terkubur setelah anak lelakinya itu meninggal dunia hari ini selepas lima hari koma akibat kemalangan jalan raya Jumaat lalu.

Mohd Nor Alif Harun, 17, calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Omar di sini meninggal dunia di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu awal pagi ini.

"Hasrat anak saya untuk menyambung pelajaran serta menyara keluarga tidak tercapai. Dia dimasukkan ke ICU HSNZ setelah kemalangan jalan raya sewaktu pulang dari solat Jumaat " kata Sara Ramli, 56, ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Gong Pasir di sini.

Katanya ketika kejadian anaknya sedang menyertai Kem Kecemerlangan SPM dianjurkan pihak sekolah di Mayang Sari Resort dan kemalangan berlaku ketika sedang membonceng motosikal rakannya apabila dirempuh sebuah motosikal lain.

Menurutnya, sebelum menyertai kem itu pada Khamis, anak bongsunya itu daripada lapan beradik sempat berpesan kepadanya supaya menganggap abangnya, Muhammad Suffian, 23, sebagai pengganti dirinya jika dia sudah tiada.

"Sambil dia peluk mak cik, dia cakap yang dia sayangkan mak cik sangat-sangat dan dia belajar...nak berjaya demi mak cik," katanya.

Bapa pelajar itu, Harun Abu bakar, 70, berkata beliau tidak menyangka pertemuannya dengan anaknya di Masjid Pak Sabah semasa solat Jumaat merupakan pertemuan terakhir mereka.
"Saya tak sangka dia akan solat di masjid yang sama dengan saya, sebab saya ingatkan dia pergi solat di Masjid Sura Jetty kerana ia berhampiran dengan Mayang Sari Resort.

"Dia sempat tegur saya di masjid tersebut dan setelah pulang ke rumah, saya terkejut bila ada orang datang bagi tahu anak saya kemalangan," katanya.

Sementara itu, Pengetua SMK Sultan Omar, Md Zain Muda berkata kehilangan arwah sangat dirasai seluruh warga sekolah dan ini merupakan kali pertama beliau kehilangan seorang calon peperiksaan sepanjang perkhidmatannya sebagai seorang guru.


"Kehilangan beliau (arwah) sangat dirasai, terutamanya bagi rakan sekelas beliau yang sangat rapat dengan arwah dan beliau seorang pelajar yang baik," katanya. - BERNAMA

Calon SPM rebah, meninggal dunia selepas 30 minit jawab soalan

NEWS
Calon SPM rebah, meninggal dunia selepas 30 minit jawab soalan


SEBAHAGIAN daripada 198 pelajar memasuki dewan yang menempatkan seorang pelajar calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Nur Syazwani Ariffin, 17, (gambar kecil) yang meninggal dunia ketika sedang menduduki peperiksaan Kertas 1 Bahasa Melayu di Sekolah Menengah Agama Saniah, Pasir Puteh, hari ini. - Foto Zaman Huri Isa
KOTA BAHRU: Seorang calon yang menduduki hari pertama peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia di Sekolah Menengah Agama (SMA) Saniah, Pasir Puteh, dekat sini dilaporkan rebah dan meninggal dunia selepas kira-kira 30 minit menjawab soalan, pagi ini.

Pelajar terbabit dilaporkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Tengku Anis (HTA) di sini.
Pelajar perempuan berkenaan, NurSyazwani Arifin, 17, dikatakan sedang menjawab kertas Bahasa Melayu 1 apabila tiba-tiba rebah dan pengsan di atas lantai dewan pemeriksaan sekolah itu.


Sementara itu, Bernama melaporkan Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd Kamal Zainal berkata, pihaknya kini menunggu keputusan bedah siasat unit forensik Universiti Sains Malaysia (USM) untuk mengetahui punca kematiannya kerana Nursyazwani dikatakan tidak mempunyai rekod penyakit kronik.

Bapanya Arifin Deraman, 48, seorang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Tok Janggut membawa Nursyazwani ke hospital selepas diberitahu mengenai insiden itu kira-kira 8.45 pagi, katanya kepada pemberita ketika ditemui di hospital berkenaan hari ini.

Sementara itu, Arifin ketika ditemui berkata Nursyazwani pernah mengalami pening kepala, sakit belakang dan dada selama seminggu sebelum ini.

"Ketika itu doktor hanya mengesahkan Allahyarham mengalami gastrik tetapi dalam sehari dua ini beliau didapati sihat seperti biasa.
"Pagi tadi, sebelum peperiksaan beliau ceria dan sempat mencium tangan saya," katanya.

Beliau berkata Nursyazwani anak keempat daripada enam beradik adalah antara pelajar terbaik sekolah itu dan menyasarkan keputusan 10A.

"Arwah bercita-cita untuk menjadi seorang pensyarah," katanya yang berasal dari Kampung Kemudu Bongkok, Gaal.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak, Zawawi Othman antara yang menziarahi jenazah Allahyarham di hospital. - BERNAMA